Sunday, March 21, 2010

PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR 2


2. KESAN PENCEMARAN
Selain daripada bencana alam, manusia juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Penggunaan kenderaan dan jentera yang menggunakan bahan api fosil(petrol dan diesel) menyebabkan pencemaran udara yang teruk. Hasil pembakaran bahan api fosil menghasilkan gas beracun seperti karbon monoksida dan sulfur dioksida. Kilang-kilang yang didirikan boleh menghasilkan sisa toksik(beracun) seperti bahan buangan radioaktif dan merkuri.
Dalam industri pertanian pula, penggunaan racun yang berleluasa boleh mengancam keselamatan alam sekitar. Insektisid(racun serangga) seperti DDT boleh masuk ke rantai makanan. Sumber makanan seperti daging dan ikan mengandungi DDT yang seterusnya akan di makan oleh manusia.
Jika hendak disenaraikan punca pencemaran, amatlah banyak sehinggakan website ini tak cukup untuk menampung senarai tersebut. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan punca pencemaran adalah disebabkan oleh aktiviti manusia.
3. MELINDUNGI ALAM SEKITAR
Akibat pencemaran yang teruk, pelbagai isu berkaitan dengan alam sekitar timbul. Antaranya ialah :-
a. Pemanasan Global (Global Warming) - dimana suhu bumi kita meningkat akibat daripada peningkatan gas karbon dioksida diatmosfera. Gas ini memerangkap haba dan menyebabkan suhu di bumi meningkat. Fenomena ini juga dikenali sebagai "Kesan Rumah Hijau" (Green House Effect).
b. Penipisan Lapisan Ozon (Depletion of Ozone Layer) - Gas Klorofluorokarbon (CFC) yang digunakan dalam peti sejuk dan aerosol bertindak balas dengan lapisan ozon dan seterusnya menipiskannya. Penipisan ini menyebabkan sinaran U/V matahari menembusi atmosfera dan menyebabkan kanser kulit.
Kita hendaklah melindungi alam sekitar kita. banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk tujuan ini.
i. Mencari sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar.
ii. Mengurangkan pembakaran.
iii. Menukar CFC kepada HCFC yang lebih selamat.
iv. Menanam pokok
v. Perhutanan semula(reforestation)
4. MENGURUS SUMBER ALAM YANG TERHAD
Selain daripada masalah pencemaran, kehidupan kita juga sedang diancam oleh kekurangan sumber alam. Makanan, air, logam dan bahan api merupakan sumber alam yang kian berkurangan akibat daripada penuaian berleluasa dan penggunaan yang tidak terancang.
Adalah penting kita menggunakan kebijaksanaan kita untuk mengurus sumber alam ini supaya ia kekal lebih lama untuk digunakan oleh generasi yang akan datang. Beberapa langkah yang praktikal ialah :-
a. Menghadkan aktiviti pembalakan dengan menuai kayu balak yang matang sahaja. Kayu kayan yang tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi tidak harus ditebang.
b. Mengharamkan penggunaan pukat harimau yang boleh merosakkan terumbu karang (coral reef).
c. Mengawal pembukaan tanah baru dengan melakukan kajian terperinci berkaitan kesannya kepada alam sekitar sebelum sesuatu projek dilaksanakan.
d. Menghadkan aktiviti perlombongan dan mencari idea baru untuk menggunakan bekas lombong.
5. UBAH SIKAP KITA !
Kehidupan kita akan lebih sejahtera jika kita hidup dalam alam sekitar yang bersih dan sihat. Ini dapat dicapai jika kita mengubah sikap kita. Sebagai contoh kita hendaklah mengitar semula plastik dan kertas supaya kita tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada hasil petroleum dan kayu-kayan. Setiap orang yang inginkan kehidupan yang lebih sejahtera harus memainkan peranan yang proaktif.
"MARILAH KITA SAMA-SAMA MEMELIHARA DAN MEMULIHKAN ALAM SEKITAR KITA"

PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR



1. KESEIMBANGAN ALAM
Keseimbangan alam bermaksud keadaan di mana interaksi antara organisma atau antara organisma dengan alam sekitar. Keseimbangan ini dapat mengekalkan kehidupan. Untuk mencapai keseimbangan alam, peranan kitar semulajadi amatlah penting. Antara kitar semula jadi tersebut adalah :-
• Kitar karbon
• Kitar Nitrogen
• kitar air
Kesemua kitar semula jadi itu membolehkan organisma terus hidup dan beranak. Dalam kitar nitrogen, nitrogen digunakan untuk membekalkan nutrien kepada tumbuhan. Dalam kitar karbon pula, karbon dioksida yang terbebas semasa respirasi (pernafasan) digunakan oleh tumbuhan. Tumbuhan pula mengeluarkan makanan dan sumber oksigen untuk haiwan. Dalam kitar air pula, air tersejat dari proses transpirasi tumbuhan dan respirasi haiwan. Air yang tersejat ini membentuk awan dan turun semula ke bumi sebagai hujan.
Selain dari keseimbangan alam, kita juga sering diancam oleh bencana alam. Letupan gunung berapi(volcano), gempa bumi(earth quake), kemarau(drought), Kebakaran hutan(forest fire), banjir(flood) dan taufan(tornado) boleh menyebabkan keseimbangan alam tergugat.
Antara kesan bencana alam ini ialah :-
a. merosakkan habitat(tempat tinggal haiwan)
b. menyebabkan kematian haiwan dan tumbuhan
c. Mengganggu kitar semula jadi
d. Pencemaran alam sekitar

Monday, March 8, 2010

KOORDINASI BADAN

Koordinasi badan menyelaras aktiviti sistem-sistem dan organ-organ. Koordinasi badan terdiri dari koordinasi saraf dan koordinasi kimia. Koordinasi badan penting supaya setiap anggota badan dapat berfungsi secara bersepadu.

SISTEM SARAF MANUSIA
Sistem saraf kita berbahagi kepada 2 bahagian iaitu sistem saraf pusat dan sistem saraf periferi.

KOMPONEN DAN FUNGSI SISTEM SARAF PUSAT
1. OTAK - berfungsi sebagai pusat mentafsir maklumat.
2. SARAF TUNJANG - menyambungkan otak dengan saraf periferi dan juga sebagai pusat kawalan tindakan refleks.

SISTEM SARAF PERIFERI
1. SARAF KRANIUM - menyambungkan otak dengan anggota di kepala seperti mata, telinga dsb.
2. SARAF SPINA - menyambungkan bahagian lain dalam badan dengan saraf tunjang.

Sistem saraf kita terbentuk dari rangkaian neuron-neuron. Neuron ialah sel saraf yang merupakan asas kepada sistem saraf yang berfungsi membawa impuls. Terdapat 3 jenis neuron. Neuron deria, neuron perantaraan dan neuron motor.

Fungsi setiap neuron adalah seperti berikut :-
NEURON DERIA:Menerima ransangan, menjana impuls dan seterusnya menghantar impuls itu ke neuron perantaraan.
NEURON PERANTARAAN:Menerima impuls dari neuron deria dan menghantarnya ke neuron motor
NEURON MOTOR:Menerima impuls dari neuron perantaraan dan menghantar ke otot untuk gerak balas.

Bahagian-bahagian dalam neuron pula mempunyai fungsi seperti dibawah :-

BADAN SEL:Bahagian yang menempatkan nukleus dan berfungsi sebagai pusat aktiviti sel
AKSON : Membawa impuls keluar dari badan sel
DENDRON :Membawa impuls masuk ke dalam badan sel
SALUT MEILIN :Melindungi akson dan dendron
SINAPS: Ruang khas diantara neuron-neuron yang membenarkan impuls mengalir dalam satu arah sahaja
RESEPTOR :Struktur khas pada neuron deria ini menjana impuls apabila ia menerima rangsangan
EFEKTOR: Struktur khas pada neuron motor ini menerima impuls dari sistem saraf pusat dan melakukan gerak balas

Sistem saraf manusia adalah istimewa. Kadang-kadang kita boleh bergerak balas dengan cepat dan otomatik apabila kita menerima ransangan yang mungkin memudaratkan kita. Gerak balas yang berlaku dengan cepat dan tanpa berfikir ini disebut sebagai "tindakan refleks". Tindakan refleks tidak melibatkan otak tetapi pergerakan impuls hanya melalui saraf tunjang sahaja. Contohnya apabila kita tersentuh sterika panas, gerak balas menarik tangan dengan cepat merupakan tindakan refleks. Tindakan ini memastikan badan kita tidak tercedera dengan teruk. Pergerakan impuls(maklumat) semasa tindakan refleks disebut "arka refleks" ialah :
Reseptor-->Neuron deria-->sinaps-->Neuron perantaraan-->Sinaps-->Neuron Motor-->Efektor

Ada sejenis tindakan refleks istimewa iaitu "Sentakan Lutut / Knee Jerk", arka refleknya TIDAK melibatkan neuron perantaraan.

Selain daripada reseptor biasa yang ditemui pada organ deria kita, para saintis telah mengenal pasti sejenis reseptor pada otot-otot dan tendon yang terlibat dengan pergerakan badan apabila kita melakukan aktiviti tanpa penglihatan. Reseptor ini disebur "Proprioseptor @ reseptor regang". Reseptor regang terlibat secara langsung dalam Deria Kinestesis yang juga berfungsi mengimbangkan badan dan membolehkan seseorang mengkoordinasikan badan dalam keadaan gelap.

OTAK KITA
Selain dari neuron-neuron, otak adalah bahagian yang terpenting dalam sistem saraf kita. Otak merupakan pusat kawalan semua aktiviti badan. Mari kita belajar mengenali otak.

Otak terdiri daripada 3 bahagian :-
a. SEREBRUM - mengawal deria dan tindakan terkawal.
b. SEREBELUM - mengawal keseimbangan badan.
c. MEDULA OBLONGATA - mengawal tindakan luar kawal seperti pergerakan jantung.

Tindakan terkawal dikawal oleh serebrum. Contoh tindakan terkawal ialah membaca, menunggang basikal dan menyanyi.

Tindakan luar kawal pula dikawal oleh medula oblongata. contoh tindakan luar kawal ialah degupan jantung, pergerakan usus ["peristalsis"] dan kadar pernafasan.

Otak juga membolehkan kita berupaya menaakul dan berfikir dengan baik. Ini menyebabkan seseorang manusia mempunyai minda. Minda yang baik dipengaruhi oleh faktor pemakanan, penyakit otak dan kecederaan otak semasa kemalangan.

Saintis telah mengenalpasti bahagian-bahagian serebrum yang mengawal aktiviti badan. Contohnya bahagian penghujung belakang serebrum terlibat dengan penglihatan dan tengah atasnya mengawal pergerakan anggota badan.

KOORDINASI KIMIA
Bergandingan dengan koordinasi saraf, koordinasi kimia dikawal oleh hormon dan kelenjar endokrin. Hormon adalah bahan kimia dalam badan yang mengawal aktiviti badan. Hormon dihasilkan oleh bahagian badan yang disebut sebagai kelenjar endokrin. Kelenjar endokrin juga digelar "kelenjar tanpa duktus" kerana ia membebaskan hormon terus ke dalam aliran darah kita.

Manusia mempunyai 6 jenis kelenjar endokrin utama iaitu :-
a. Pituitari - terletak dalam otak ia mengawal kelenjar lain serta berfungsi dalam pertumbuhan.
b. Tiroid - terletak di tepi leher ia mengawal metabolisme, perkembangan otak.
c. Adrenal - terletak di atas ginjal ia menolong seseorang menghadapi kecemasan.
d. Pankreas - terletak di pankreas ia mengawal aras gula dalam darah.
e. Ovari (perempuan) - terletak dalam ovari ia mengawal perkembangan seks.
f. Testis (lelaki) - terletak dalam testis ia mengawal perkembangan seks.


Jika kuantiti hormon ini tidak seimbang ia akan mencacatkan aktiviti badan. contohnya jika hormon yang dikeluarkan dari pankreas tidak mencukupi, seseorang akan menghidap penyakit kencing manis.

PERBANDINGAN KOORDINASI SARAF DAN KOORDINASI KIMIA
Walaupun kedua-dua koordinasi saraf dan koordinasi kimia berfungsi mengkoordinasikan aktiviti badan, namun kita boleh membandingkan dan membezakan kedua-duanya.
KOORDINASI SARAF
Dikawal oleh sistem saraf
Maklumat dihantar dalam bentuk IMPULS
Gerak balasnya boleh dipercepat atau
diperlambatkan
Pusat kawalan adalah otak dan saraf tunjang
KOORDINASI KIMIA
Dikawal oleh sistem endokrin
Maklumat dihantar dalam bentuk HORMON
Gerak balas adalah lambat
Gerak balas adalah lambat
Pusat kawalan adalah kelenjar-kelenjar

DADAH MENGGANGGU KOORDINASI !!!
Walaupun kita telah dikurniakan dengan badan yang mampu mengkoordinasikan aktivitinya terdapat 2 bahan yang boleh mengganggunya. Bahan itu ialah dadah dan alkohol.

Dadah merupakan bahan kimia yang boleh mengubah fungsi badan. Contoh dadah ialah heroin. Dadah dikenali sebagai "bahan psikoaktif" kerana ia mampu mengubah perlakuan seseorang setelah menyerang sistem saraf kita.

Pengambilan dadah boleh mendatangkan kesan buruk kepada badan kita.
Kesan dadah secara :-

a. Fizikal - mata merah, hidung berair.
b. Mental - gila, tidak boleh menumpukan perhatian.
c. Psikologi - tidak waras, marah-marah.
d. Fisiologi - gerakbalas lambat, imuniti lemah.
e. Sosial - tidak mahu bergaul dan menimbulkan masaalah seperti mencuri dan menghisap gam.
f. Ekonomi - hilang sumber pendapatan dan menghabiskan duit kerajaan.

ALKOHOL JUGA MERBAHAYA !!
Alkohol menjejaskan fungsi otak dan koordinasi badan. Keadaan ini mengakibatkan peningkatan kadar kemalangan serta masaalah rumah tangga. Pengambilan alkohol juga boleh mencacatkan bayi dalam kandungan.

JAGALAH BADAN ANDA
Setelah mempelajari koordinasi badan, kita seharusnya menghargai fungsi koordinasi saraf dan koordinasi kimia. Dengan adanya kedua-dua koordinasi ini badan kita boleh melakukan aktiviti dengan sempurna. Penjagaan kesihatan mental juga penting supaya kita hidup dalam harmoni dan bahagia. Kita hendaklah menjauhkan diri dari gejala penyalahgunaan dadah serta ketagihan alkohol.