Tuesday, September 28, 2010

BAHAN BUATAN DALAM PERINDUSTRIAN

1. APA ITU POLIMER SINTETIK

Polimer ialah sejenis bahan yang mengandungi rantaian molekul panjang dan besar. Molekul-molekul ini juga disebut sebagai monomer.

Sintetik pula bermaksud bahan yang dibuat (direka) oleh manusia dengan menggunakan sumber asli seperti petroleum.

Polimer Sintetik [Synthetic Polymer] bermaksud polimer yang dibuat oleh manusia. Ia dibuat dengan menggunakan proses pempolimeran. Getah sintetik dan plastik merupakan 2 jenis polimer sintetik yang penting di negara kita.

2. GETAH SINTETIK
Getah sintetik [Synthetic Rubber] ialah getah yang hampir serupa dengan getah asli. Ia bukan berasal dari pokok getah. Bahan yang dibuat dari bahan petrokimia (petroleum) ini adalah lebih keras, lebih kenyal dan tahan terhadap haba dan kimia.

Nampak gaya ianya lebih baik dari getah asli. Satu persaingan bagi industri getah kita. Walau bagaimanapun ianya sangat mahal dan hanya mempunyai kegunaan yang tersendiri [specific usage] seperti digunakan untuk membuat tayar dan hos.

3. PLASTIK
Pernah tengok "plastic men"?. Sifat plastic men adalah sama dengan bahan plastik iaitu mudah dibentuk dan dilenturkan. Keluarga plastik juga merupakan bahan-bahan yang dibuat dari bahan petrokimia. Plastik terbahagi kepada 2 jenis.

i. PLASTIK TERMOPLASTIK
SIFAT Boleh diacu (dibentuk) berulang kali melalui proses pemanasan dan penyejukan.
Tidak tahan haba.
CONTOH (KEGUNAAN)
Politena untuk membuat beg plastik.
Polisterina untuk membuat bekas makanan sejuk.
Polivinil Klorida/PVC untuk membuat paip air.

ii. PLASTIK TERMOSET
SIFAT Boleh diacu hanya sekali sahaja.
Tahan haba.
CONTOH (KEGUNAAN)
Bakelit untuk membuat soket elektrik.
Melamina untuk membuat pinggan mangkuk.
Gam Epoksi untuk membuat gam industri.

4. MASALAH PENCEMARAN
Kedua-dua polimer sintetik diatas tahan lama dan tidak mudah mereput [Non Biodegradable]. Oleh itu ia sangat mencemarkan alam sekitar jika tidak diurus dengan baik.

Pencemaran yang berasal dari polimer sintetik menyebabkan :
•Longkang tersumbat yang seterusnya mengakibatkan banjir kilat serta pembiakan nyamuk.
•Kehidupan laut mati. Penyu yang menyangka bahan plastik adalah makanan boleh menyebabkan ia tercekik dan mati. Hidupan laut yang berharga itu akan pupus.
•Pencemaran udara. Apabila bahan plastik dibakar ia akan menghasilkan gas toksik (beracun). Gas toksik ini menyebabkan penyakit seperti kanser. Gas ini juga menyebabkan penipisan lapisan ozon.

Pembuangan serta penggunaan polimer sintetik perlu diurus dengan baik. Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan adalah seperti :
•Kitar Semula. Semua polimer sintetik yang telah digunakan boleh dibawa kekilang untuk diproses semula kepada bahan yang berguna. Beg plastik boleh diguna semula.
•Menghadkan penggunaan plastik serta memilih untuk menggunakan bahan yang mudah "terbiodegradasi" (mereput jika dibuang) seperti kertas. Kerusi kayu boleh menggantikan kerusi plastik.
•Membakar bahan plastik dalam insinerator [Incinerator] supaya gas toksik yang dikeluarkan dapat dikurangkan.

5. KEPENTINGAN POLIMER DALAM KEHIDUPAN MANUSIA
Walaupun polimer sintetik telah dikenalpasti sebagai bahan pencemar ia memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Ia merupakan satu pilihan dalam pembuatan bahan yang tahan lama dan dengan ini sangat murah. Ciri-ciri istimewanya seperti ringan telah menyebabkan terciptanya alat-alat seperti baldi, pasu bunga dan kerusi yang mesra pengguna.

Oleh kerana negara kita menghasilkan bahan petroleum maka industri petrokimia telah menyumbangkan kepada pendapatan negara. Industri hiliran yang berasasaskan polimer sintetik penting dan telah dikenalpasti sebagai penyumbang kepada ekspot negara.

SEBATIAN KARBON

1. APA ITU SEBATIAN KARBON?
Sebatian karbon ialah bahan kimia yang mengandungi unsur karbon didalamnya. Terdapat 2 jenis sebatian karbon.
a.Sebatian organik - sebatian karbon yang berasal dari benda hidup (haiwan & tumbuhan
b.Sebatian tak organik - Sebatian karbon yang buakan berasal dari benda hidup (batu & mineral)

Protein ialah satu contoh sebatian organik manakala kalsium karbonat ialah sebatian tak organik.

Hidrokarbon ialah sebatian organik yang mengandungi unsur karbon dan hidrogen di dalamnya. Hidrokarbon berasal dari petroleum, arang batu atau gas asli.

2. ALKOHOL SEBAGAI SEBATIAN KARBON
Alkohol adalah bahan yang mengandungi unsur karbon, hidrogen dan oksigen di dalamnya. Etanol dan propanol adalah contoh alkohol. [nama tersebut berakhir dengan OL]

Alkohol boleh dihasilkan melalui proses "penapaian" [alcoholic fermentation]. Penapaian dilakukan apabila yis menukarkan glukosa menjadi alkohol dan karbon dioksida.

Alkohol mempunyai sifat istimewa seperti boleh larut dalam air dan senang terbakar untuk menghasilkan nyalaan biru. Alkohol juga boleh bertindak balas dengan asid organik untuk menghasilkan ESTER. Ester ialah bahan kimia berbau wangi yang sering digunakan untuk membuat perisa buah-buahan.

Alkohol selalunya digunakan untuk membuat minuman keras. Dalam bidang perubatan alkohol boleh digunakan untuk membasmi kuman dan digunakan sebagai ramuan ubat batuk. Di sesetengah negara, alkohol digunakan sebagai bahan api kenderaan.

Pengambilan alkohol boleh memudaratkan kesihatan manusia. Ia menyebabkan gangguan sistem saraf dan menyebabkan seseorang tidak berfikiran waras. Kehadiran alkohol dalam badan boleh merosakkan hati (sirosis hati) dan seterusnya boleh mengakibatkan penyakit jantung.
Ketagihan alkohol telah menimbulkan banyak masalah sosial seperti penderaan kanak-kanak, kemalangan jalanraya dan kecacatan fetus.


3. LEMAK JUGA SEJENIS SEBATIAN KARBON
Seperti alkohol, lemak [FAT] juga mempunyai unsur yang sama iaitu karbon, hidrogen dan oksigen tetapi dalam komposisi yang berlainan.

Lemak terbahagi kepada 2 jenis iaitu lemak tepu dan lemak tak tepu.

LEMAK TEPU
Berasal dari sumber haiwan seperti lembu, babi dan kambing
Keadaan pepejal pada suhu bilik
Mempunyai takat lebur yang tinggi
Tidak baik untuk kesihatan kerana mengandungi banyak kolestrol

LEMAK TAK TEPU
Berasal dari sumber tumbuhan seperti kacang soya dan kelapa sawit
Keadaan cecair
Takat lebur yang rendah
Tidak memudaratkan kesihatan kerana kandungan kolestrol yang rendah

Lemak berfaedah kepada badan kerana ia memberi tenaga. Selain daripada itu ia juga membawa vitamin A,D,E dan K yang sangat penting kepada badan. Walau bagaimanapun, kita hendaklah memilih jenis lemak yang kita makan. Lemak tepu yang mengandungi kolestrol yang tinggi boleh menyebabkan penyakit jantung. Kolestrol yang berlebihan itu boleh terenap di dalam lumen arteri yang menyebabkan pengaliran darah tersekat. Ini menyebabkan jantung terpaksa mengepam darah dengan lebih kuat. Lama kelamaan jantung akan "letih" dan tidak boleh menanggung beban kerja yang lebih. Oleh itu jagalah pengambilan makanan anda.

4. KELAPA SAWIT SEBAGAI SUMBER LEMAK KITA DAN SUMBER PENDAPATAN NEGARA

Minyak kelapa sawit berasal dari buah kelapa sawit .Buah kelapa sawit mengandungi sabut, tempurung dan isirung. Minyak kelapa sawit tertumpu di kawasan sabut dan isirung. minyak kelapa sawit yang berasal dari sabut disebut sebagai minyak sawit [palm oil] dan minyak yang berasal dari isirung disebut minyak isirung [palm kernel oil].

Pemprosesan Minyak Kelapa sawit melibatkan proses berikut :-
i.Pensterilan - Tandan (gambar atas kanan) dan buah disembur dengan stim untuk membunuh mikroorganisma dan melembutkan tandan.
ii.Pengekstrakan - Minyak diperah dari buah kelapa sawit dengan "penekan skru".
iii.Penulenan - Minyak kelapa sawit ditulenkan dengan mengalirkannya kedalam "karbon diaktifkan" untuk membuang bau dan menjernihkannya.

Minyak kelapa sawit digunakan untuk membuat minyak masak, majerin dan sabun. Ia berkhasiat kerana ia mengandungi vitamin A dan E yang tinggi.

Industri kelapa sawit penting kerana ia menyediakan banyak peluang pekerjaan di ladang. Minyak Kelapa sawit juga merupakan sumber pendapatan ekspot negara. Oleh sebab itu penyelidikan dan pembangunan kelapa sawit adalah sangat penting. Semua aktiviti penyelidikan berkaitan dengan industri kelapa sawit dilaksanakan oleh MPOB (Malaysian Palm Oil Board).
Potensi kelapa sawit amatlah besar. Minyak kelapa sawit telah dikenal pasti sebagai satu sumber bahan api kenderaan. Ia juga telah dikenal pasti sebagai sumber vitamin A dan E yang baik.

5. SABUN SEBAGAI SATU PRODUK MINYAK KELAPA SAWIT
Sabun diperbuat daripada minyak kelapa sawit. Molekul Minyak kelapa sawit dipecahkan oleh tindakan haba dan alkali pekat (Natrium hidroksida). Sabun yang terhasil dimendakkan oleh garam dan seterusnya ditapis untuk membentuk pepejal sabun.
Sabun terbentuk dari molekul gliserol dan asid lemak. "Kepala" Molekul sabun suka kepada air manakala "ekor"nya suka kepada gris. Sifat ini menyebabkan sabun sangat sesuai digunakan sebagai ejen pencuci.

Mekanisme tindakan pencucian gris dari kain adalah seperti berikut :-

Ekor molekul sabun melekat pada gris--->Kepala molekul sabun berada dalam air---> Apabila air cucian dikocak, molekul sabun akan menarik gris keluar dari kain----> Kekotoran tertanggal dari kain.

6. APA ITU POLIMER?

Tahukah anda nasi yang anda makan setiap hari adalah terdiri daripada glukosa. Para saintis mendapati bahawa beribu-ribu glukosa membentuk rantai panjang. Rantai panjang ini ialah kanji, bahan yang terdapat dalam nasi. Para saintis telah bersetuju memangggil kanji sebagai satu "POLIMER" dan glukosa sebagai "MONOMER". Polimer secara ringkasnya adalah rantai panjang molekul-molekul. Monomer pula ialah molekul yang membentuk polimer itu.

Dalam dunia kita, terdapat 2 jenis polimer. Polimer asli ialah polimer yang berasal dari benda hidup. Polimer sintetik ialah polimer buatan manusia dengan menggunakan bahan kimia. Seperti contoh di atas, kanji ialah polimer asli kerana ia berasal dari tumbuhan padi. Perspeks ialah polimer sintetik. Ia terbina dari sejenis bahan kimia iaitu metil metakrilat (Puiii...susahnya nak sebut). Metil metakrilat ni sebenarnya ialah monomer bagi perspeks. Perspeks ialah polimer yang keras. Nak lihat apa kegunaannya? Klik kat sini ya... Ha.. dah lihat. Perspek digunakan untuk membuat kerangka basikal. Perspek juga boleh digunakan untuk membuat lampu kereta mewah. Mari kita kaji dengan lebih mendalam sejenis polimer asli yang banyak terdapat di negara kita.

7. POLIMER ASLI

Monomer ialah molekul kecil. Polimer ialah molekul besar dan panjang monomer-monomer. Getah asli ialah satu contoh polimer yang terdiri dari rantaian monomer "isoprena".

Pempolimeran ialah proses menyatukan monomer-monomer untuk membentuk polimer. Disebaliknya Penyahpolimeran ialah proses memecahkan polimer untuk menghasilkan monomer.

Getah asli merupakan polimer semulajadi yang sangat penting kepada manusia. Getah asli merupakan satu lagi sumber pendapatan negara. Getah asli sangat kenyal. Ini adalah disebabkan oleh molekulnya yang mudah menggelongsor antara satu sama lain apabila ditarik. Getah asli boleh diperolehi dari pokok getah. Pokok getah yang ditoreh, mengeluarkan susu getah yang disebut "lateks". Lateks boleh dibekukan (istilah yang sesuai ialah "menggumpal") dengan mencampurkan asid etanoik kedalamnya. Ini memudahkan pengusaha menjadikan ia dalam bentuk kepingan yang mudah dijual. Untuk mencegah penggumpalan pula, larutan ammonia ditambahkan kedalam lateks. Ini membolehkan lateks dihantar ke kilang penggumpalan dengan menggunakan lori tangki.

Jika latek didedahkan, ia juga boleh menggumpal secara semula jadi. Ini adalah kerana ia mudah diserang oleh bakteria. Bakteria tersebut menghasilkan asid yang seterusnya menggumpalkan lateks.
Kepingan getah asli seterusnya diproses untuk menghasilkan barangan lain seperti tayar, sarung tangan dan kondom. Proses "Pemvulkanan" getah digunakan untuk mengeraskan getah asli. Ia dilakukan dengan memasak getah asli dengan serbuk sulfur. Atom sulfur boleh mengikat molekul getah untuk membentuk "rangkai silang sulfur". Rangkai silang ini menghalang rantaian molekul getah dari menggelongsor. Getah menjadi keras. Getah asli telah divulkankan [getah tervulkan] sesuai digunakan untuk membuat tayar. Ini menyebabkan industri getah boleh menyumbangkan pendapatan yang lumayan kepada negara.

8. PENGARUH SEBATIAN KARBON KEPADA KEHIDUPAN

Sebatian karbon mempunyai banyak kegunaan kepada manusia. Ia digunakan sebagai sumber bahan api, makanan,minuman dan tayar.
Oleh sebab itu ramai ahli sains telah berkecimpung dengan aktifnya dalam aktiviti penyelidikan sebatian karbon. Teknologis polimer menyelidik dan cuba memperluaskan kegunaan sebatian karbon seperti polimer. Pembangunan produk baru penting supaya hidup manusia lebih sejahtera. Kita hendaklah berterima kasih terhadap sumbangan mereka. Bayangkanlah jika kenderaan anda tidak bertayar. Apa akan terjadi???

Sunday, April 4, 2010

KETURUNAN DAN VARIASI

1. MEMAHAMI PROSES PEMBAHAGIAN SEL
Kita mengetahui bahawa badan kita terbina dari berjuta-juta sel. Dalam sel ini terdapat pusat aktiviti yang disebut sebagai nukleus. Dalam nukleus pula terdapat kromosom yang mengandungi gen. Gen inilah yang mengawal sifat kita. Contohnya ia mengawal samaada rambut kita kerinting atau tidak. Gen adalah bahan baka yang membawa maklumat genetik. Gen terletak dalam Kromosom. Jika dilihat menerusi mikroskop, kromosom adalah struktur bebenang dalam nukleus sel.



Manusia boleh tumbuh dan membiak kerana selnya boleh membahagi. Dua jenis pembahagian sel ialah mitosis dan meiosis. Mitosis berlaku dalam seluruh badan dan menyebabkan setiap hari kita membesar. Bilangan kromosom yang terhasil tetap sama dengan gen asal [kadang kala digelar 'gen induk']. Meiosis pula berlaku dalam testis atau ovari untuk menghasilkan sperma atau ovum. Bilangan kromosom dalam sperma ialah separuh dari bilangan sel induk. Manusia mempunyai 23 kromosom iaitu separuh dari kromosom sel induk (46 kromosom).

Berikut adalah perbezaan antara mitosis dan meiosis.

MITOSIS

MEIOSIS

a. Berlaku dalam sel soma

b. Untuk pertumbuhan fizikal
c. Menghasilkan 2 "sel anak" setiap pembahagian
d. Tidak menyebabkan variasi

a. Berlaku dalam organ pembiakan

(testis/ovari)
b. Untuk pembentukan sel gamet

(sperma/ovum)
c. Menghasilkan 4 "sel anak"
d. Menyebabkan variasi



Sunday, March 21, 2010

PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR 2


2. KESAN PENCEMARAN
Selain daripada bencana alam, manusia juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Penggunaan kenderaan dan jentera yang menggunakan bahan api fosil(petrol dan diesel) menyebabkan pencemaran udara yang teruk. Hasil pembakaran bahan api fosil menghasilkan gas beracun seperti karbon monoksida dan sulfur dioksida. Kilang-kilang yang didirikan boleh menghasilkan sisa toksik(beracun) seperti bahan buangan radioaktif dan merkuri.
Dalam industri pertanian pula, penggunaan racun yang berleluasa boleh mengancam keselamatan alam sekitar. Insektisid(racun serangga) seperti DDT boleh masuk ke rantai makanan. Sumber makanan seperti daging dan ikan mengandungi DDT yang seterusnya akan di makan oleh manusia.
Jika hendak disenaraikan punca pencemaran, amatlah banyak sehinggakan website ini tak cukup untuk menampung senarai tersebut. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan punca pencemaran adalah disebabkan oleh aktiviti manusia.
3. MELINDUNGI ALAM SEKITAR
Akibat pencemaran yang teruk, pelbagai isu berkaitan dengan alam sekitar timbul. Antaranya ialah :-
a. Pemanasan Global (Global Warming) - dimana suhu bumi kita meningkat akibat daripada peningkatan gas karbon dioksida diatmosfera. Gas ini memerangkap haba dan menyebabkan suhu di bumi meningkat. Fenomena ini juga dikenali sebagai "Kesan Rumah Hijau" (Green House Effect).
b. Penipisan Lapisan Ozon (Depletion of Ozone Layer) - Gas Klorofluorokarbon (CFC) yang digunakan dalam peti sejuk dan aerosol bertindak balas dengan lapisan ozon dan seterusnya menipiskannya. Penipisan ini menyebabkan sinaran U/V matahari menembusi atmosfera dan menyebabkan kanser kulit.
Kita hendaklah melindungi alam sekitar kita. banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk tujuan ini.
i. Mencari sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar.
ii. Mengurangkan pembakaran.
iii. Menukar CFC kepada HCFC yang lebih selamat.
iv. Menanam pokok
v. Perhutanan semula(reforestation)
4. MENGURUS SUMBER ALAM YANG TERHAD
Selain daripada masalah pencemaran, kehidupan kita juga sedang diancam oleh kekurangan sumber alam. Makanan, air, logam dan bahan api merupakan sumber alam yang kian berkurangan akibat daripada penuaian berleluasa dan penggunaan yang tidak terancang.
Adalah penting kita menggunakan kebijaksanaan kita untuk mengurus sumber alam ini supaya ia kekal lebih lama untuk digunakan oleh generasi yang akan datang. Beberapa langkah yang praktikal ialah :-
a. Menghadkan aktiviti pembalakan dengan menuai kayu balak yang matang sahaja. Kayu kayan yang tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi tidak harus ditebang.
b. Mengharamkan penggunaan pukat harimau yang boleh merosakkan terumbu karang (coral reef).
c. Mengawal pembukaan tanah baru dengan melakukan kajian terperinci berkaitan kesannya kepada alam sekitar sebelum sesuatu projek dilaksanakan.
d. Menghadkan aktiviti perlombongan dan mencari idea baru untuk menggunakan bekas lombong.
5. UBAH SIKAP KITA !
Kehidupan kita akan lebih sejahtera jika kita hidup dalam alam sekitar yang bersih dan sihat. Ini dapat dicapai jika kita mengubah sikap kita. Sebagai contoh kita hendaklah mengitar semula plastik dan kertas supaya kita tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada hasil petroleum dan kayu-kayan. Setiap orang yang inginkan kehidupan yang lebih sejahtera harus memainkan peranan yang proaktif.
"MARILAH KITA SAMA-SAMA MEMELIHARA DAN MEMULIHKAN ALAM SEKITAR KITA"

PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR



1. KESEIMBANGAN ALAM
Keseimbangan alam bermaksud keadaan di mana interaksi antara organisma atau antara organisma dengan alam sekitar. Keseimbangan ini dapat mengekalkan kehidupan. Untuk mencapai keseimbangan alam, peranan kitar semulajadi amatlah penting. Antara kitar semula jadi tersebut adalah :-
• Kitar karbon
• Kitar Nitrogen
• kitar air
Kesemua kitar semula jadi itu membolehkan organisma terus hidup dan beranak. Dalam kitar nitrogen, nitrogen digunakan untuk membekalkan nutrien kepada tumbuhan. Dalam kitar karbon pula, karbon dioksida yang terbebas semasa respirasi (pernafasan) digunakan oleh tumbuhan. Tumbuhan pula mengeluarkan makanan dan sumber oksigen untuk haiwan. Dalam kitar air pula, air tersejat dari proses transpirasi tumbuhan dan respirasi haiwan. Air yang tersejat ini membentuk awan dan turun semula ke bumi sebagai hujan.
Selain dari keseimbangan alam, kita juga sering diancam oleh bencana alam. Letupan gunung berapi(volcano), gempa bumi(earth quake), kemarau(drought), Kebakaran hutan(forest fire), banjir(flood) dan taufan(tornado) boleh menyebabkan keseimbangan alam tergugat.
Antara kesan bencana alam ini ialah :-
a. merosakkan habitat(tempat tinggal haiwan)
b. menyebabkan kematian haiwan dan tumbuhan
c. Mengganggu kitar semula jadi
d. Pencemaran alam sekitar

Monday, March 8, 2010

KOORDINASI BADAN

Koordinasi badan menyelaras aktiviti sistem-sistem dan organ-organ. Koordinasi badan terdiri dari koordinasi saraf dan koordinasi kimia. Koordinasi badan penting supaya setiap anggota badan dapat berfungsi secara bersepadu.

SISTEM SARAF MANUSIA
Sistem saraf kita berbahagi kepada 2 bahagian iaitu sistem saraf pusat dan sistem saraf periferi.

KOMPONEN DAN FUNGSI SISTEM SARAF PUSAT
1. OTAK - berfungsi sebagai pusat mentafsir maklumat.
2. SARAF TUNJANG - menyambungkan otak dengan saraf periferi dan juga sebagai pusat kawalan tindakan refleks.

SISTEM SARAF PERIFERI
1. SARAF KRANIUM - menyambungkan otak dengan anggota di kepala seperti mata, telinga dsb.
2. SARAF SPINA - menyambungkan bahagian lain dalam badan dengan saraf tunjang.

Sistem saraf kita terbentuk dari rangkaian neuron-neuron. Neuron ialah sel saraf yang merupakan asas kepada sistem saraf yang berfungsi membawa impuls. Terdapat 3 jenis neuron. Neuron deria, neuron perantaraan dan neuron motor.

Fungsi setiap neuron adalah seperti berikut :-
NEURON DERIA:Menerima ransangan, menjana impuls dan seterusnya menghantar impuls itu ke neuron perantaraan.
NEURON PERANTARAAN:Menerima impuls dari neuron deria dan menghantarnya ke neuron motor
NEURON MOTOR:Menerima impuls dari neuron perantaraan dan menghantar ke otot untuk gerak balas.

Bahagian-bahagian dalam neuron pula mempunyai fungsi seperti dibawah :-

BADAN SEL:Bahagian yang menempatkan nukleus dan berfungsi sebagai pusat aktiviti sel
AKSON : Membawa impuls keluar dari badan sel
DENDRON :Membawa impuls masuk ke dalam badan sel
SALUT MEILIN :Melindungi akson dan dendron
SINAPS: Ruang khas diantara neuron-neuron yang membenarkan impuls mengalir dalam satu arah sahaja
RESEPTOR :Struktur khas pada neuron deria ini menjana impuls apabila ia menerima rangsangan
EFEKTOR: Struktur khas pada neuron motor ini menerima impuls dari sistem saraf pusat dan melakukan gerak balas

Sistem saraf manusia adalah istimewa. Kadang-kadang kita boleh bergerak balas dengan cepat dan otomatik apabila kita menerima ransangan yang mungkin memudaratkan kita. Gerak balas yang berlaku dengan cepat dan tanpa berfikir ini disebut sebagai "tindakan refleks". Tindakan refleks tidak melibatkan otak tetapi pergerakan impuls hanya melalui saraf tunjang sahaja. Contohnya apabila kita tersentuh sterika panas, gerak balas menarik tangan dengan cepat merupakan tindakan refleks. Tindakan ini memastikan badan kita tidak tercedera dengan teruk. Pergerakan impuls(maklumat) semasa tindakan refleks disebut "arka refleks" ialah :
Reseptor-->Neuron deria-->sinaps-->Neuron perantaraan-->Sinaps-->Neuron Motor-->Efektor

Ada sejenis tindakan refleks istimewa iaitu "Sentakan Lutut / Knee Jerk", arka refleknya TIDAK melibatkan neuron perantaraan.

Selain daripada reseptor biasa yang ditemui pada organ deria kita, para saintis telah mengenal pasti sejenis reseptor pada otot-otot dan tendon yang terlibat dengan pergerakan badan apabila kita melakukan aktiviti tanpa penglihatan. Reseptor ini disebur "Proprioseptor @ reseptor regang". Reseptor regang terlibat secara langsung dalam Deria Kinestesis yang juga berfungsi mengimbangkan badan dan membolehkan seseorang mengkoordinasikan badan dalam keadaan gelap.

OTAK KITA
Selain dari neuron-neuron, otak adalah bahagian yang terpenting dalam sistem saraf kita. Otak merupakan pusat kawalan semua aktiviti badan. Mari kita belajar mengenali otak.

Otak terdiri daripada 3 bahagian :-
a. SEREBRUM - mengawal deria dan tindakan terkawal.
b. SEREBELUM - mengawal keseimbangan badan.
c. MEDULA OBLONGATA - mengawal tindakan luar kawal seperti pergerakan jantung.

Tindakan terkawal dikawal oleh serebrum. Contoh tindakan terkawal ialah membaca, menunggang basikal dan menyanyi.

Tindakan luar kawal pula dikawal oleh medula oblongata. contoh tindakan luar kawal ialah degupan jantung, pergerakan usus ["peristalsis"] dan kadar pernafasan.

Otak juga membolehkan kita berupaya menaakul dan berfikir dengan baik. Ini menyebabkan seseorang manusia mempunyai minda. Minda yang baik dipengaruhi oleh faktor pemakanan, penyakit otak dan kecederaan otak semasa kemalangan.

Saintis telah mengenalpasti bahagian-bahagian serebrum yang mengawal aktiviti badan. Contohnya bahagian penghujung belakang serebrum terlibat dengan penglihatan dan tengah atasnya mengawal pergerakan anggota badan.

KOORDINASI KIMIA
Bergandingan dengan koordinasi saraf, koordinasi kimia dikawal oleh hormon dan kelenjar endokrin. Hormon adalah bahan kimia dalam badan yang mengawal aktiviti badan. Hormon dihasilkan oleh bahagian badan yang disebut sebagai kelenjar endokrin. Kelenjar endokrin juga digelar "kelenjar tanpa duktus" kerana ia membebaskan hormon terus ke dalam aliran darah kita.

Manusia mempunyai 6 jenis kelenjar endokrin utama iaitu :-
a. Pituitari - terletak dalam otak ia mengawal kelenjar lain serta berfungsi dalam pertumbuhan.
b. Tiroid - terletak di tepi leher ia mengawal metabolisme, perkembangan otak.
c. Adrenal - terletak di atas ginjal ia menolong seseorang menghadapi kecemasan.
d. Pankreas - terletak di pankreas ia mengawal aras gula dalam darah.
e. Ovari (perempuan) - terletak dalam ovari ia mengawal perkembangan seks.
f. Testis (lelaki) - terletak dalam testis ia mengawal perkembangan seks.


Jika kuantiti hormon ini tidak seimbang ia akan mencacatkan aktiviti badan. contohnya jika hormon yang dikeluarkan dari pankreas tidak mencukupi, seseorang akan menghidap penyakit kencing manis.

PERBANDINGAN KOORDINASI SARAF DAN KOORDINASI KIMIA
Walaupun kedua-dua koordinasi saraf dan koordinasi kimia berfungsi mengkoordinasikan aktiviti badan, namun kita boleh membandingkan dan membezakan kedua-duanya.
KOORDINASI SARAF
Dikawal oleh sistem saraf
Maklumat dihantar dalam bentuk IMPULS
Gerak balasnya boleh dipercepat atau
diperlambatkan
Pusat kawalan adalah otak dan saraf tunjang
KOORDINASI KIMIA
Dikawal oleh sistem endokrin
Maklumat dihantar dalam bentuk HORMON
Gerak balas adalah lambat
Gerak balas adalah lambat
Pusat kawalan adalah kelenjar-kelenjar

DADAH MENGGANGGU KOORDINASI !!!
Walaupun kita telah dikurniakan dengan badan yang mampu mengkoordinasikan aktivitinya terdapat 2 bahan yang boleh mengganggunya. Bahan itu ialah dadah dan alkohol.

Dadah merupakan bahan kimia yang boleh mengubah fungsi badan. Contoh dadah ialah heroin. Dadah dikenali sebagai "bahan psikoaktif" kerana ia mampu mengubah perlakuan seseorang setelah menyerang sistem saraf kita.

Pengambilan dadah boleh mendatangkan kesan buruk kepada badan kita.
Kesan dadah secara :-

a. Fizikal - mata merah, hidung berair.
b. Mental - gila, tidak boleh menumpukan perhatian.
c. Psikologi - tidak waras, marah-marah.
d. Fisiologi - gerakbalas lambat, imuniti lemah.
e. Sosial - tidak mahu bergaul dan menimbulkan masaalah seperti mencuri dan menghisap gam.
f. Ekonomi - hilang sumber pendapatan dan menghabiskan duit kerajaan.

ALKOHOL JUGA MERBAHAYA !!
Alkohol menjejaskan fungsi otak dan koordinasi badan. Keadaan ini mengakibatkan peningkatan kadar kemalangan serta masaalah rumah tangga. Pengambilan alkohol juga boleh mencacatkan bayi dalam kandungan.

JAGALAH BADAN ANDA
Setelah mempelajari koordinasi badan, kita seharusnya menghargai fungsi koordinasi saraf dan koordinasi kimia. Dengan adanya kedua-dua koordinasi ini badan kita boleh melakukan aktiviti dengan sempurna. Penjagaan kesihatan mental juga penting supaya kita hidup dalam harmoni dan bahagia. Kita hendaklah menjauhkan diri dari gejala penyalahgunaan dadah serta ketagihan alkohol.

Tuesday, January 26, 2010

MIKROORGANISMA DAN KESANNYA KE ATAS KEHIDUPAN

1. PENGELASAN

Mikroorganisma dikelaskan kepada 5 Kumpulan iaitu bakteria, kulat, virus, protozoa dan alga. Setiap Kumpulan mikroorganisma ini mempunyai bentuk, saiz, cara pembiakan, nutrisi(cara pemakanan) dan habitat(tempat tinggal) yang agak berbeza. Bakteria boleh berbentuk kokus(macam bola ping pong), rod(macam sosej), spirilium(macam spring) dan vibrio(macam simbol koma (,)). Virus tidak mempunyai bentuk tertentu dan boleh membentuk hablur.

Kesemua mikroorganisma membiak secara asek iaitu pembelahan dedua ataupun pertunasan. Yis adalah mikroorganisma dari kumpulan kulat yang boleh membiak secara pertunasan.

Mikroorganisma mendapatkan nutrisi melalui 3 cara iaitu :-

  1. Saprofit - menyerap makanan dari benda yang reput.
  2. Parasit - menyerap makanan dari benda hidup (haiwan & tumbuhan).
  3. Autotrofit - membina makanan sendiri.

Kebanyakan bakteria, kulat, protozoa hidup secara saprofit manakala virus hidup secara parasit. Alga adalah autotrofit. Air kolam yang berwarna hijau menunjukkan adanya pertumbuhan alga didalamnya. Dari segi saiz pula mikroorganisma yang paling besar ialah protozoa manakala yang terkecil ialah virus. Bakteria hidup di mana-mana, protozoa boleh hidup dalam kolam dan kulat pula di atas roti basah virus seperti HIV(penyebab AIDS) hidup dalam badan manusia.

2. FAKTOR YANG MEMPENGARUHI AKTIVITI

Aktiviti mikroorganisma dipengaruhi oleh faktor suhu, kelembapan, nutrien, cahaya dan pH. mikroorganisma suka tumbuh pada suhu 37oC (suhu badan). Sebab itulah kita sering sakit. Saintis mendapati mikroorganisma tidak aktif dalam kedaan sejuk. Pada keadaan yang panas ia akan mati. Sebab itulah makanan yang disimpan dalam peti sejuk boleh disimpan lama kerana mikroorganisma di dalamnya tidak berpeluang membiak. Human being are smart :-).

Mikroorganisma memerlukan kelembapan yang tinggi untuk hidup. Contohnya kulat suka pada kulit yang lembap. Seperti manusia, mikroorganisma memerlukan nutrien untuk hidup. Ia sukakan bahan yang mengandungi kanji dan protein yang tinggi. Tidak seperti tumbuhan, mikroorganisma tidak sukakan cahaya malah sesetengah mikroorganisma senang mati apabila terkena cahaya matahari. Bila kita menjemur pakaian, sebenarnya kita juga menghapuskan mikroorganisma :-).

3. FAEDAH MIKROORGANISMA KEPADA KITA

Mikroorganisma memainkan peranan yang penting kepada kehidupan kita. Ia menolong kita (a)mencerna makanan, (b) mereput hasil buangan dan (c) menyumbang kepada bidang perubatan, pertanian dan perindustrian.

Setengah bakteria memilih usus manusia untuk hidup. Pada masa yang sama ia menolong dalam pencernaan dengan memecahkan zat-zat makanan supaya zat ini boleh diserap oleh usus kita.

Kebanyakan jenis bakteria dan kulat menolong kita mereputkan bahan buangan seperti sampah sarap. Hasil pereputan ini menjadi baja yang akan diserap semula oleh tumbuhan.

Dalam bidang perubatan pula sesetengah jenis kulat digunakan untuk membuat antibiotik(ubat). Antibiotik boleh membunuh bakteria dan menyembuhkan penyakit. Walaupun halus, bakteria menolong para petani menyuburkan tanah. Ada sejenis Bakteria istimewa yang hidup dalam akar kekacang. Bakteria ini membuat bahan bernitrogen (baja) dari udara. Baja ini dikembalikan ke dalam tanah. Tanah menjadi subur!!!.

Yis merupakan sejenis kulat yang sangat penting. Ia digunakan untuk membuat roti. Dalam proses membuat roti, yis itu menggunakan kanji dalam tepung untuk tumbuh Pada masa yang sama ia menghasilkan gas karbon dioksida. Gas ini yang menyebabkan roti itu kembang dan mempunyai rasa yang enak.

Para saintis sentiasa berusaha menyelidik kegunaan lain mikroorganisma. Mungkin pada suatu hari nanti saintis akan menemui sejenis bakteria yang boleh melawan virus HIV !!! wow..bestnya.

4. MIKROORGANISMA JUGA BERBAHAYA !

Kita hendaklah sedar bahawa mikroorganisma boleh menyebabkan penyakit serta merosakkan makanan kita.

Jadual berikut menunjukkan beberapa jenis penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisma.

KUMPULAN MIKRORGANISMA

PENYAKIT

GEJALA (TANDA-TANDA)

Bakteria

tibi (batuk kering)

batuk berpanjangan,
mengeluarkan kahak kuning kehijauan,
mengeluarkan kahak pekat.

Bakteria

taun

cirit birit dan muntah

Protozoa

malaria

demam berpanjangan

Virus

AIDS

selalu sakit

Kulat

Kurap

kulit gatal-gatal

Penyakit ini boleh merebak melalui beberapa cara. Tibi merupakan penyakit yang merebak melalui titisan cecair yang tersembur semasa pesakit batuk atau bersin. Mikroorganisma yang terdapat dalam tisisan cecair ini akan memasuki sistem pernafasan mangsa dan menyerangnya.

Taun pula merebak melalui air yang tercemar. Bakteria penyebab taun hidup dalam tinja(tahi) pesakit. Apabila pesakit "melepas"kan tinja itu ke dalam sungai bakteria akan dibawa sehingga seseorang meminum air itu.

Malaria ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh protozoa yang di bawa oleh vektor nyamuk. Protozoa ini dipindahkan kepada mangsa lain apabila dia digigit nyamuk itu.

HIV dipindahkan ke seseorang melalui sentuhan. Apabila seseorang melakukan seks rambang dengan pembawa HIV maka dia akan dijangkiti virus yang berbahaya itu. HIV setersnya menyebabkan mangsa mengidap AIDS. Kurap juga merupakan sejenis penyakit yang di sebabkan sentuhan. ini berlaku apabila seseorang berkongsi pakaian.

5. MENCEGAH DAN MERAWAT PENYAKIT

Bagaimana kita boleh mencegah penyakit ini???

Secara umumnya terdapat 3 cara mencegah penyakit iaitu :-

CARA PENCEGAHAN

APA YANG DILAKUKAN

CONTOH PENYAKIT YANG DICEGAH

KAWALAN "VEKTOR"

Vektor seperti lalat dan nyamuk dihapuskan dengan racun serangga atau menggunakan ubat jentik-jentik untuk menghapuskan larva.

Denggi dan Malaria

PENSTERILAN

Botol susu didihkan, alat pembedahan didedahkan sinar ultraviolet, penggunaan autoklaf.

Tibi, Taun, AIDS

PENGIMUNAN

Suntikan vaksin

Tibi, Polio dan Batuk kokol.

Tibi boleh dicegah apabila kita menghindari tempat yang tidak mempunyai pengudaraan yang baik seperti panggung wayang. Apabila seseorang terkena Tibi, pesakit boleh dirawat dengan suntikan antibiotik.

Taun boleh dicegah dengan memasak air minuman. Bakteria penyebab taun mati apabila terkena haba tinggi. Penyakit taun juga boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik.

Malaria boleh dicegah dengan mengawal vektor nyamuk. Tempat pembiakan nyamuk seperti air bertakung dalam tin hendaklah dimusnahkan. Malaria boleh diubat dengan ubat kuinin (sangat pahit ubat ini tau !!!!).

HIV boleh dicegah jika kita tidak melakukan seks rambang. Pada masa kini AIDS tidak boleh diubati.

Penggunaan antibiotik dalam mengubati penyakit adalah sangat penting. Bahan yang boleh membunuh mikroorganisma ini merupakan penemuan yang sangat dihargai manusia. Namun penggunaan antibiotik hendaklah diawasi. Penggunaan tidak mengikut preskripsi(sukatan doktor) boleh menyebabkan mikroorganisma menjadi 'alah'(tahan).

6. ANUGERAH TUHAN

Sesungguhnya kehadiran mikroorganisma di dunia ini adalah sungguh menakjubkan. Ia adalah anugerah Tuhan yang sangat istimewa. Ia membantu manusia mereputkan bahan buangan. Oleh kerana bahan yang diuraikan akan dikitarkan semula ke alam maka mikroorganisma memainkan peranan yang penting demi mencapai keseimbangan alam sekitar.

Pada masa yang sama kita hendaklah berhati-hati apabila menjalankan eksperimen yang melibatkan mikroorganisma supaya ia tidak memasuki badan kita. Langkah berjaga-jaga termasuklah sentiasa membasuh tangan dan tidak menyentuh "kultur".

Kaedah Penyiasatan Saintifik

Sains ialah ilmu tentang alam sekeliling kita. Untuk mengkaji tentang alam sekeliling kita, penyiasatan saintifik hendaklah dilakukan.

Langkah-langkah penyiasatan saintifik mengikut turutan :
• Mengenal pasti masalah
• Membuat hipotesis
• Merancang penyiasatan
• Mengawal pemboleh ubah
• Mengumpul data
• Menganalisis data
• Membuat kesimpulan
• Membuat laporan

Terdapat 3 Jenis pemboleh ubah (PU) dalam penyiasatan saintifik.
i.PU yang dimalarkan: apakah perkara yang disamakan?
ii.PU yang dimanipulasikan:- apakah perkara yang di ubah-ubah?
iii.PU yang bergerak balas:- apakah yang dilihat(diperhatikan)?

Tuesday, January 12, 2010