Wednesday, October 28, 2009

BAHAN KIMIA DALAM PERINDUSTRIAN

ALOI
1. Aloi ialah bahan yang terbina dari percampuran 2 atau lebih logam berlainan.
2. Sifat aloi adalah kuat, lebih keras, tahan kakisan dan mempunyai rupabentuk yang menarik.
3. Contoh-contoh aloi dan kegunaannya adalah seperti dibawah :-

Keluli (Besi + Karbon) Jambatan dan bangunan
Gangsa (Kuprum +Timah) Bahan perhiasan seperti piala
Loyang (Kuprum + Zink) Kunci dan alat musik
Duralumin (Aluminium +Kuprum) Badan kapal terbang

4. Proses mencampur logam-logam untuk membentuk bahan aloi disebut proses PENGALOIAN.
5. Kehadiran atom lain dalam susunan atom logam utama mengelakkan kelongsoran, inilah sebabnya aloi sangat kuat dan keras.

6. "Aloi superkonduktor" ialah aloi yang boleh mengalirkan arus elektrik dalam keadaan tanpa rintangan pada suhu yang sangat rendah. Ia mempunyai sifat yang sangat istimewa kerana aloi ini ditolak oleh magnet. Kegunaan aloi ini pada masa hadapan ialah untuk membina keretapi "terapung"(bullet train) yang kelajuannya amat tinggi.

AMMONIA
Ammonia ialah bahan kimia yang mempunyai 1 atom nitrogen bergabung dengan 3 atom hidrogen.
Ammonia digunakan untuk membuat baja bernitrogen, asid nitrik, Bahan letupan TNT, Agen pencuci dan pewarna.
Ammonia dihasilkan melalui proses "HABER".
Proses Haber ialah proses yang menggabungkan 1 bahagian Nitrogen dan 3 bahagian Hidrogen pada suhu dan tekanan tinggi. Suhu yang digunakan dalam Proses haber ialah 450-500oC, manakala tekanan yang dikenakan ialah 200-500 atm. Mangkin yang digunakan ialah besi untuk mempercepatkan tindak balas
Urea ialah sejenis baja bernitrogen yang dibuat dari ammonia yang dihasilkan dengan memanaskan ammonia dengan karbon dioksida pada suhu dan tekanan tinggi.

PENCEMARAN
Terdapat beberapa punca utama Pencemaran :-

a. Pembakaran Bahan Api Fosil seperti Diesel.

Gas beracun yang terbebas ialah Sulfur dioksida, karbon monoksida, nitrogen dioksida, jelaga dan debu.
Kesan buruk dari pencemaran ini ialah HUJAN ASID, KEJADIAN RUMAH HIJAU dan menjejaskan KESIHATAN MANUSIA.

b. Sisa Toksik dari Industri.

Bahan toksik yang terbebas ialah asid dan alkali, plumbum dan merkuri.
Kesannya kepada alam sekitar ialah ia boleh mengubah pH air dan seterusnya mengganggu keseimbangan ekosistem akuatik. Kura-kura mati:-(
Bahan toksik juga boleh menyebabkan gangguan pernafasan dan sistem saraf.

c. Pembuangan Sisa Kelapa Sawit dan Sisa Getah.

Bahan yang terbuang seperti hampas, kulit buah dan tangkai boleh mencemarkan.
Bahan sisa getah seperti tayar buruk dan sarung tangan susah untuk mereput dan amat mencemarkan alam sekitar.
Kedua-dua sisa ini boleh mencemarkan air, udara dan darat.

d. Sisa Daripada Bahan Radioaktif.

Sisa radioaktif masih boleh memancarkan sinaran radioaktif yang merbahaya.
Pendedahan manusia kepada sinaran ini boleh menyebabkan mutasi, kanser, kemandulan dan kecacatan fetus.

PENGAWALAN PEMBUANGAN SISA INDUSTRI

A. Penggunaan teknologi seperti membina "pemendak elektrostatik" pada cerobong kilang. Ini boleh mengurangkan gas karbon monoksida.
B. Menggunakan Akta Kualiti Alam Sekitar untuk mendenda pengilang yang mencemarkan alam sekitar.
C. Mendidik orang ramai tentang pentingnya menjaga alam sekitar. Ini dilaksanakan dengan mengadakan kempen seperti ceramah, iklan TV dan Radio.