Monday, March 8, 2010

KOORDINASI BADAN

Koordinasi badan menyelaras aktiviti sistem-sistem dan organ-organ. Koordinasi badan terdiri dari koordinasi saraf dan koordinasi kimia. Koordinasi badan penting supaya setiap anggota badan dapat berfungsi secara bersepadu.

SISTEM SARAF MANUSIA
Sistem saraf kita berbahagi kepada 2 bahagian iaitu sistem saraf pusat dan sistem saraf periferi.

KOMPONEN DAN FUNGSI SISTEM SARAF PUSAT
1. OTAK - berfungsi sebagai pusat mentafsir maklumat.
2. SARAF TUNJANG - menyambungkan otak dengan saraf periferi dan juga sebagai pusat kawalan tindakan refleks.

SISTEM SARAF PERIFERI
1. SARAF KRANIUM - menyambungkan otak dengan anggota di kepala seperti mata, telinga dsb.
2. SARAF SPINA - menyambungkan bahagian lain dalam badan dengan saraf tunjang.

Sistem saraf kita terbentuk dari rangkaian neuron-neuron. Neuron ialah sel saraf yang merupakan asas kepada sistem saraf yang berfungsi membawa impuls. Terdapat 3 jenis neuron. Neuron deria, neuron perantaraan dan neuron motor.

Fungsi setiap neuron adalah seperti berikut :-
NEURON DERIA:Menerima ransangan, menjana impuls dan seterusnya menghantar impuls itu ke neuron perantaraan.
NEURON PERANTARAAN:Menerima impuls dari neuron deria dan menghantarnya ke neuron motor
NEURON MOTOR:Menerima impuls dari neuron perantaraan dan menghantar ke otot untuk gerak balas.

Bahagian-bahagian dalam neuron pula mempunyai fungsi seperti dibawah :-

BADAN SEL:Bahagian yang menempatkan nukleus dan berfungsi sebagai pusat aktiviti sel
AKSON : Membawa impuls keluar dari badan sel
DENDRON :Membawa impuls masuk ke dalam badan sel
SALUT MEILIN :Melindungi akson dan dendron
SINAPS: Ruang khas diantara neuron-neuron yang membenarkan impuls mengalir dalam satu arah sahaja
RESEPTOR :Struktur khas pada neuron deria ini menjana impuls apabila ia menerima rangsangan
EFEKTOR: Struktur khas pada neuron motor ini menerima impuls dari sistem saraf pusat dan melakukan gerak balas

Sistem saraf manusia adalah istimewa. Kadang-kadang kita boleh bergerak balas dengan cepat dan otomatik apabila kita menerima ransangan yang mungkin memudaratkan kita. Gerak balas yang berlaku dengan cepat dan tanpa berfikir ini disebut sebagai "tindakan refleks". Tindakan refleks tidak melibatkan otak tetapi pergerakan impuls hanya melalui saraf tunjang sahaja. Contohnya apabila kita tersentuh sterika panas, gerak balas menarik tangan dengan cepat merupakan tindakan refleks. Tindakan ini memastikan badan kita tidak tercedera dengan teruk. Pergerakan impuls(maklumat) semasa tindakan refleks disebut "arka refleks" ialah :
Reseptor-->Neuron deria-->sinaps-->Neuron perantaraan-->Sinaps-->Neuron Motor-->Efektor

Ada sejenis tindakan refleks istimewa iaitu "Sentakan Lutut / Knee Jerk", arka refleknya TIDAK melibatkan neuron perantaraan.

Selain daripada reseptor biasa yang ditemui pada organ deria kita, para saintis telah mengenal pasti sejenis reseptor pada otot-otot dan tendon yang terlibat dengan pergerakan badan apabila kita melakukan aktiviti tanpa penglihatan. Reseptor ini disebur "Proprioseptor @ reseptor regang". Reseptor regang terlibat secara langsung dalam Deria Kinestesis yang juga berfungsi mengimbangkan badan dan membolehkan seseorang mengkoordinasikan badan dalam keadaan gelap.

OTAK KITA
Selain dari neuron-neuron, otak adalah bahagian yang terpenting dalam sistem saraf kita. Otak merupakan pusat kawalan semua aktiviti badan. Mari kita belajar mengenali otak.

Otak terdiri daripada 3 bahagian :-
a. SEREBRUM - mengawal deria dan tindakan terkawal.
b. SEREBELUM - mengawal keseimbangan badan.
c. MEDULA OBLONGATA - mengawal tindakan luar kawal seperti pergerakan jantung.

Tindakan terkawal dikawal oleh serebrum. Contoh tindakan terkawal ialah membaca, menunggang basikal dan menyanyi.

Tindakan luar kawal pula dikawal oleh medula oblongata. contoh tindakan luar kawal ialah degupan jantung, pergerakan usus ["peristalsis"] dan kadar pernafasan.

Otak juga membolehkan kita berupaya menaakul dan berfikir dengan baik. Ini menyebabkan seseorang manusia mempunyai minda. Minda yang baik dipengaruhi oleh faktor pemakanan, penyakit otak dan kecederaan otak semasa kemalangan.

Saintis telah mengenalpasti bahagian-bahagian serebrum yang mengawal aktiviti badan. Contohnya bahagian penghujung belakang serebrum terlibat dengan penglihatan dan tengah atasnya mengawal pergerakan anggota badan.

KOORDINASI KIMIA
Bergandingan dengan koordinasi saraf, koordinasi kimia dikawal oleh hormon dan kelenjar endokrin. Hormon adalah bahan kimia dalam badan yang mengawal aktiviti badan. Hormon dihasilkan oleh bahagian badan yang disebut sebagai kelenjar endokrin. Kelenjar endokrin juga digelar "kelenjar tanpa duktus" kerana ia membebaskan hormon terus ke dalam aliran darah kita.

Manusia mempunyai 6 jenis kelenjar endokrin utama iaitu :-
a. Pituitari - terletak dalam otak ia mengawal kelenjar lain serta berfungsi dalam pertumbuhan.
b. Tiroid - terletak di tepi leher ia mengawal metabolisme, perkembangan otak.
c. Adrenal - terletak di atas ginjal ia menolong seseorang menghadapi kecemasan.
d. Pankreas - terletak di pankreas ia mengawal aras gula dalam darah.
e. Ovari (perempuan) - terletak dalam ovari ia mengawal perkembangan seks.
f. Testis (lelaki) - terletak dalam testis ia mengawal perkembangan seks.


Jika kuantiti hormon ini tidak seimbang ia akan mencacatkan aktiviti badan. contohnya jika hormon yang dikeluarkan dari pankreas tidak mencukupi, seseorang akan menghidap penyakit kencing manis.

PERBANDINGAN KOORDINASI SARAF DAN KOORDINASI KIMIA
Walaupun kedua-dua koordinasi saraf dan koordinasi kimia berfungsi mengkoordinasikan aktiviti badan, namun kita boleh membandingkan dan membezakan kedua-duanya.
KOORDINASI SARAF
Dikawal oleh sistem saraf
Maklumat dihantar dalam bentuk IMPULS
Gerak balasnya boleh dipercepat atau
diperlambatkan
Pusat kawalan adalah otak dan saraf tunjang
KOORDINASI KIMIA
Dikawal oleh sistem endokrin
Maklumat dihantar dalam bentuk HORMON
Gerak balas adalah lambat
Gerak balas adalah lambat
Pusat kawalan adalah kelenjar-kelenjar

DADAH MENGGANGGU KOORDINASI !!!
Walaupun kita telah dikurniakan dengan badan yang mampu mengkoordinasikan aktivitinya terdapat 2 bahan yang boleh mengganggunya. Bahan itu ialah dadah dan alkohol.

Dadah merupakan bahan kimia yang boleh mengubah fungsi badan. Contoh dadah ialah heroin. Dadah dikenali sebagai "bahan psikoaktif" kerana ia mampu mengubah perlakuan seseorang setelah menyerang sistem saraf kita.

Pengambilan dadah boleh mendatangkan kesan buruk kepada badan kita.
Kesan dadah secara :-

a. Fizikal - mata merah, hidung berair.
b. Mental - gila, tidak boleh menumpukan perhatian.
c. Psikologi - tidak waras, marah-marah.
d. Fisiologi - gerakbalas lambat, imuniti lemah.
e. Sosial - tidak mahu bergaul dan menimbulkan masaalah seperti mencuri dan menghisap gam.
f. Ekonomi - hilang sumber pendapatan dan menghabiskan duit kerajaan.

ALKOHOL JUGA MERBAHAYA !!
Alkohol menjejaskan fungsi otak dan koordinasi badan. Keadaan ini mengakibatkan peningkatan kadar kemalangan serta masaalah rumah tangga. Pengambilan alkohol juga boleh mencacatkan bayi dalam kandungan.

JAGALAH BADAN ANDA
Setelah mempelajari koordinasi badan, kita seharusnya menghargai fungsi koordinasi saraf dan koordinasi kimia. Dengan adanya kedua-dua koordinasi ini badan kita boleh melakukan aktiviti dengan sempurna. Penjagaan kesihatan mental juga penting supaya kita hidup dalam harmoni dan bahagia. Kita hendaklah menjauhkan diri dari gejala penyalahgunaan dadah serta ketagihan alkohol.

1 comment:

cikgu mariam said...

tq cikgu :) nota2 cgu byk mbantu sy mngajar