Monday, August 13, 2012

ELEKTRONIK DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT


1. GELOMBANG RADIO DAN SIFATNYA
Pernahkah anda pergi ke tepi pantai untuk melihat gelombang air laut menghempas pantai?. Anda mungkin memerhatikan bentuk gelombang itu yang turun naik. Gelombang ini dinamakan gelombang mekanikal kerana ia mempunyai medium iaitu air.

Apakah persamaan gelombang air laut dengan gelombang radio. Anda sudah pastilah tidak dapat melihat gelombang radio dengan mata kasar kerana ia bergerak dalam atmosfera dan angkasa (dalam bentuk vakum agaknya). Tahukah anda bahawa kehidupan kita banyak dipengaruhi oleh gelombang radio. Kita akan menilai dengan lebih mendalam tentang gelombang yang sangat istimewa ini.

Dengan menggunakan alat tertentu kita boleh melihat bentuk gelombang radio. Lihat profil gelombang di bawah.

Amplitud mewakili tenaga yang di bawa oleh gelombang itu. Panjang gelombang merupakan jarak antara 2 puncak gelombang itu. Oleh kerana gelombang ini bergerak, kita boleh mengira halajunya dengan menggunakan rumus :
Halaju gelombang (v) = Frekuensi (f) X Panjang gelombang
dimana frekuensi ialah bilangan gelombang lengkap yang terbentuk dalam masa 1 saat.

Gelombang radio ialah sejenis gelombang elektromagnet. Ia sesuai digunakan dalam komunikasi kerana ia mempunyai sifat istimewa seperti boleh membawa maklumat bunyi dan gambar. Ia juga boleh bergerak dalam ruang angkasa yang vakum (tiada udara). Pergerakannya sangat jauh dan pantas. Gelombang radio pada frekuensi tertentu mempunyai kegunaan tersendiri. Gelombang radio dalam bentuk gelombang panjang, gelombang sederhana dan gelombang pendek sesuai untuk siaran radio. Satu lagi gelombang radio iaitu gelombang mikro sesuai untuk pancaran TV, Satelit dan Telefon.

Jadual berikut menunjukkan beberapa kegunaan biasa gelombang radio.
  • AM = Amplitude modulation
  • FM = Frequency modulation
  • VHF = Very High Frequency
  • UHF = Ultra High Frequency
  • Mikro = Mikro Wave
KEGUNAAN
JENIS
RADIO
AM - untuk penyiaran radio tempatan.
FM - untuk penyiaran radio berkualiti tinggi
TV
VHF, UHF dan Mikro
KOMUNIKASI SATELIT
Gelombang mikro



2. KOMUNIKASI RADIO
Satu daripada alat komunikasi yang sangat penting ialah radio. Tahukah anda apakah komponen yang terdapat dalam kotak radio anda?

Berikut ialah beberapa komponen asas radio. Anda mungkin telah belajar bahagian ini dalam KHB tingkatan 3.

  • Perintang digunakan untuk mengawal jumlah arus yang mengalir dalam litar.
  • Kapasitor mempunyai sifat istimewa iaitu ia boleh menyimpan cas dan tenaga elektrik.
  • Diod hanya membenarkan arus mengalir dalam satu arah sahaja.
  • Transistor boleh meguatkan arus elektrik serta bertindak sebagai suis automatik.
  • Transformer meningkatkan atau mengurangkan voltan arus ulang alik.
  • Induktor dapat menyimpan tenaga dalam medan magnet.

Sistem komunikasi radio terbahagi kepada 2. Pemancar radio dan Penerima radio (Radio set). 

Dalam studio, suara seseorang yang diterima oleh mikrofon ditukarkan kepada isyarat audio(bunyi). Pengayun pula menghasilkan gelombang pembawa. Isyarat audio dan gelombang pembawa digabungkan dalam modulator membentuk gelombang radio. Anda bolehlah membayangkan bahawa gelombang pembawa itu sebagai kuda manakala isyarat audio itu sebagai koboi. Isyarat radio ini seterusnya diperkuatkan oleh amplifier supaya ia boleh disebarkan oleh aerial.


Di rumah, apabila seseorang memainkan radio, aerial radio tersebut menerima isyarat radio yang dipancarkan dari studio tadi. Oleh kerana studio yang berlainan memancarkan gelombang radio yang berlainan maka kita menggunakan litar penala untuk memilih gelombang yang dikehendaki. Gelombang radio yang mengandungi isyarat audio dan gelombang pembawa tadi melalui litar pengesan. Dalam litar ini kedua-dua isyarat itu diasingkan. Gelombang pembawa dialirkan ke bumi manakala isyarat audio diperkuatkan dalam amplifier. Isyarat itu kemudiannya dialirkan ke pembesar suara yang menghasilkan bunyi.
3. TEKNOLOGI PENGHANTARAN MAKLUMAT
Perkembangan teknologi maklumat telah bermula pada kurun ke-19 apabila terciptanya mesin telegraf oleh Samuel Morse yang terkenal pada masa kini dengan bahasa isyarat "morse code". Alexander Graham Bell pula mencipta telefon.
Pada masa kini kita mempunyai banyak alat penghantaran maklumat yang canggih ,cepat serta berteknologi tinggi seperti telefon bimbit, mesin faks serta satelit. Kabel optik (optic cabel) telah mempercepatkan penghantaran isyarat yang banyak pada sesuatu masa.
Satu daripada alat penghantaran maklumat yang tercanggih pada masa kini ialah satelit. Satelit perhubungan Malaysia yang pertama ialah MEASAT. Satelit ialah alat yang dilancarkan ke orbit (laluan) tertentu di angkasa. Ia merupakan alat perhubungan perantaraan yang menghubungkan satelit bumi ke satelit bumi yang lain. Satelit sangat sesuai digunakan dalam siaran langsung. Sebagai contoh apabila acara Sukan Olimpik di England disiarkan secara langsung ke Malaysia perhubungan satelit digunakan dengan berkesan. Isyarat dari stesen TV di England menghantar isyarat ke Satelit Bumi di sana. Satelit Bumi ini seterusnya memancarkan isyarat ke satelit angkasa kita. Satelit angkasa pula memancarkan isyarat terus ke rumah kita atau ke stesen TV tempatan.
Selain daripada kegunaan perhubungan, satelit juga digunakan dalam penyelidikan angkasa lepas. Terdapat beberapa satelit yang digunakan sebagai teleskop angkasa, menyukat kandungan ozon serta suhu bumi. Satelit juga telah digunakan dalam bidang ketenteraan (macam nak sepai orang lainlah tu....)
4. SAINTIS YANG TERLIBAT DALAM PENCIPTAAN ALAT KOMUNIKASI
Perkembangan penghantaran maklumat dengan menggunakan alat komunikasi yang moden telah menyumbang kepada pembangunan negara. Maklumat yang dihantar dengan cepat dan tepat itu telah menyebabkan produktiviti penduduk meningkat. Sebagai contoh perdagangan dalam dan luar negeri dapat dipercepatkan.
Kita harus berterima kasih kepada jurutera-jurutera yang bertanggungjawab dalam pembinaan infrastruktur komunikasi negara. Saintis yang sentiasa berusaha mencipta alat komunikasi canggih seperti komunikasi 3G dan serta gelombang jalur lebar (Broadband Wave) harus dihargai.

No comments: